PROGRAM TERATAK KASIH TOK NAN CAWANGAN MIRI
DILANCARKAN OLEH YAYASAN AIDS MALAYSIA
MIRI, SARAWAK 5 OGOS – Yayasan AIDS Malaysia (MAF) pada hari ini telah melancarkan Teratak Kasih Tok Nan, pusat sokongan sehenti untuk Orang Yang Hidup dengan HIV di Miri, Sarawak.
Perasmian pusat berkenaan telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, YB Tuan Lukanisman bin Awang Sauni.
Turut hadir di majlis berkenaan adalah Penaung MAF Cawangan Sarawak, Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Haji Anu, Penaung MAF, Datin Paduka Marina Mahathir, Presiden Majlis AIDS Malaysia, Professor Madya Dr Raja Iskandar Shah Raja Azwa, Pengerusi MAF, Professor Dato’ Dr Adeeba Kamarulzaman dan Ketua Pengarah Eksekutif Yayasan Sime Darby (YSD), Dr Hajjah Yatela Zainal Abidin.
Teratak Kasih Tok Nan Cawangan Miri merupakan manifestasi kepada kerjasama tiga hala yang dibina di antara MAF, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Yayasan Sime Darby (YSD) yang dikenali sebagai Tripartite HIV Intervention Programme (THIP) bagi menyokong perlaksaan program pencegahan HIV impak tinggi yang dikenali sebagai Differentiated HIV Services for Key Populations (DHSKP). Pusat sokongan sehenti ini beroperasi di premis yang terletak di Lot 1367, Jalan Hokkien.
Hal ini dijelaskan oleh YB Tuan Lukanisman dalam ucapan perasmian beliau.
“ Dalam tempoh 5 tahun kebelakangan ini, kes kumulatif jangkitan HIV di Miri mewakili 18% daripada jumlah jangkitan HIV untuk seluruh negeri Sarawak iaitu kedua tertinggi selepas Kuching.”
“ Melalui taburan kes ini, kita dapat tafsirkan bahawa terdapat keperluan untuk memperluaskan perkhidmatan pencegahan dan rawatan yang menawarkan perkhidmatan Differentiated HIV Services for Key Populations (DHSKP) yang khusus untuk memenuhi keperluan populasi kunci. Pakej ini meliputi pencegahan HIV/STI, sokong bantu kepatuhan rawatan HIV serta program ujian saringan HIV berasaskan komuniti yang akan dijalankan oleh ahli komuniti tempatan yang akan dilatih.”
Seterusnya, YB Lukanisman turut menjelaskan bahawa pembentukan kerjasama multi-sektoral melalui penglibatan sektor korporat merupakan salah satu pemacu kritikal yang dikenalpasti akan dapat mempercepatkan sasaran Pelan Strategik Kebangsaan Bagi Mengakhiri HIV/AIDS menjelang 2030 (NSPEA).
Sentimen yang serupa turut dinyatakan oleh Professor Madya Dr Raja Iskandar.
“ MAF amat berbesar hati dengan penglibatan YSD dalam kerjasama strategik yang bakal meningkatkan lagi skala dan capaian model DHSKP di Miri bagi membendung peningkatan jangkitan baharu HIV di Miri dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pencegahan, rawatan dan jagaan untuk anggota komuniti yang terjejas dengan epidemik ini ” ujar Prof. Madya Dr Raja Iskandar Shah Raja Azwa.
“Semenjak sedekad yag lalu, YSD telah menunjukkan kepimpinan yang jitu dari kalangan sektor korporat dalam usaha untuk mengakhiri AIDS. Ini merangkumi aspek advokasi HIV dan AIDS, rawatan dan jagaan untuk Orang Yang Hidup dengan HIV, dan terkini, sebagai peneraju di sektor korporat untuk program-program pencegahan HIV di kalangan anggota komuniti populasi kunci”. Tambah beliau lagi.
Ketika berucap di majlis perasmian, Dr Hjh Yatela Zainal Abidin mengumumkan bahawa YSD akan melanjutkan sokongan kepada MAF dalam fasa ke-4, yang turut merangkumi sokongan kepada Teratak Kasih Tok Nan dengan kerjasama KKM, dengan jumlah sumbangan terikat sebanyak RM1.5 juta sehingga tahun 2026. Ini menjadikan komitmen YSD dalam menangani HIV/AIDS sebanyak RM10 juta setakat ini. Kami berharap sumbangan ini akan dapat memberikan impak yang lebih besar sebagaimana yang dicita-citakan di masa depan untuk komuniti dalam negara.
“Kerjasama awam-swasta yang telah terjalin sejak lebih sedekad lalu ini juga selaras dengan matlamat serta objektif amalan alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG). Dedikasi bersama daripada pemegang taruh di semua lapisan masyarakat dalam mengurangkan stigma dan diskriminasi terhadap HIV/AIDS juga sejajar dengan matlamat YSD untuk meningkat kesejahteraan golongan terpinggir, selain melengkapi agenda negara dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG)”, ujar beliau lagi.
Kemuncak kepada majlis ini adalah upacara penyerahan cek sumbangan bernilai RM1.5 juta oleh Dr Hajah Yatela, mewakili YSD kepada Professor Dato’ Dr Adeeba Kamarulzaman mewakili MAF sambil disaksikan oleh YB Timbalan Menteri Kesihatan dan dif-dif jemputan lain.