Discover the Latest from YSD

Stay connected with the latest developments at Yayasan Sime Darby. Learn about the initiatives we are taking in our community and beyond.

YSD Dan I-Medik ‘Mobile Reproalert’ Di Bawah Program Sinar YSD
Community & Health

Kuala Lumpur, 24 Ogos 2025 – Pertubuhan Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) dengan kerjasama Yayasan Sime Darby (YSD) hari ini melancarkan I-Medik–YSD Mobile ReproAlert!, sebuah kenderaan bergerak interaktif bagi memberi pendidikan kesihatan reproduktif dan kaunseling yang akan mendekati sekolah, PPR dan komuniti luar bandar di seluruh negara. Inisiatif ini dilaksanakan di bawah Program ‘SINAR’ YSD, yang disokong oleh Kerajaan MADANI melalui peruntukan padanan geran di bawah inisiatif Belanjawan MADANI 2025.

Majlis pelancaran yang diadakan di Laman Tun Razak, ini telah disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, yang hadir sebagai tetamu kehormat untuk merasmikan projek ini bersama Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, Datuk Azman Abidin, Setiausaha Politik YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ab Rahim Ab Rahman, Pengarah, Pejabat Belanjawan Negara, Dr. Hajah Yatela Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sime Darby, Prof. Dr. Azizi Ayob, Presiden Pertubuhan Ikatan Pengamal Perubatan Dan Kesihatan Muslim Malaysia, dan En. Roslan Mahmood, Pengerusi, Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Zon Bandar Tun Razak.

I-Medik–YSD Mobile ReproAlert! menampilkan pendekatan “turun padang” melalui kenderaan bergerak interaktif yang dilengkapi paparan multimedia,  bahan rujukan mesra remaja serta ruang kaunseling sulit. Modul disampaikan secara sensitif budaya dan sesuai usia dengan kandungan interaktif, bagi meningkatkan literasi kesihatan reproduktif dalam kalangan remaja.

Dr. Yatela Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif YSD, berkata: 

“Ramai remaja terpaksa meninggalkan persekolahan akibat kehamilan tidak dirancang. Ini bukan sekadar isu kesihatan — ia adalah isu pendidikan, peluang hidup, dan masa depan generasi muda kita. Melalui kerjasama YSD dan I-Medik, lebih 780 sukarelawan perubatan turun padang dengan kenderaan I-Medik–YSD Mobile ReproAlert! untuk menyampaikan pendidikan, kaunseling sulit dan rujukan awal terus ke komuniti – memberi manfaat kepada lebih 5,000 individu di seluruh negara.”

Menurut Presiden I-Medik, Prof. Dr. Azizi Ayob, YSD Mobile ReproAlert adalah salah satu usaha strategik I-Medik dalam menyampaikan maklumat tentang Pendidikan seksual dan Kesihatan Reproduktif yang patuh syariah kepada seluruh lapisan masayarakat, khusunya remaja dan ibu bapa. 

“Kami yakin Mobile Truck ReproAlert akan menjadi pendekatan baharu yang lebih dekat dengan golongan muda, sekali gus membantu mencegah isu-isu sosial seperti kehamilan tidak dirancang dan penyakit jangkitan seksual,” ujar beliau. 

Statistik menunjukkan purata kira-kira 4,000 remaja perempuan di bawah 18 tahun hamil setiap tahun; negeri-negeri yang kerap direkodkan termasuk Sarawak (859 kes pada 2022), Sabah (329), Selangor (317), Johor (315) dan Perak (223). Dalam tempoh 2020–2022, 256 kes pembuangan bayi direkodkan pihak berkuasa. 

Di samping I-Medik–YSD Mobile ReproAlert!, YSD melalui Program ‘SINAR’ YSD bekerjasama dengan NGO di seluruh negara untuk memperkukuh jaringan perlindungan sosial, pendidikan komuniti dan perkhidmatan mesra komuniti. Sejak Disember 2024, program ini telah melaksanakan 11 inisiatif memberi manfaat kepada lebih 20,000 individu merentasi 8 negeri.

Mengenai I-Medik 

Pertubuhan Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) merupakan sebuah pertubuhan berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS). I-Medik dianggotai oleh para pengamal perubatan dan kesihatan termasuk doktor perubatan, doktor gigi, ahli farmasi, jururawat serta pengamal kesihatan bersekutu lain yang berdaftar dengan badan profesional masing-masing.

Sejak penubuhannya pada tahun 2010, I-Medik telah giat melaksanakan program pendidikan dan kesedaran masyarakat, khususnya melalui program bertemakan “Say No To Zina” yang telah berjaya menjangkau lebih daripada 10,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh Malaysia. 

Selain itu, I-Medik dengan kerjasama The International Women’s Alliance for Family Institution and 
Quality Education (WAFIQ), Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (PINTA), Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC), dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) telah menganjurkan siri Program Ceramah Hak Kanak-Kanak untuk sekolah tahfiz sejak tahun 2019. 

Untuk pertanyaan media, sila hubungi: 
Siti Khatijah binti Ismail 
Pengurus Projek (ReproAlert) 
I-Medik 
E-mel: imedikpusat@gmail.com 
Telefon: 011-39456588

Mengenai Yayasan Sime Darby (YSD) 
Yayasan Sime Darby merupakan badan kebajikan SD Guthrie Berhad, Sime Darby Berhad, dan Sime Darby Property Berhad. Ditubuhkan pada tahun 1982, yayasan ini berkisarkan lima teras iaitu Pendidikan, Alam Sekitar, Komuniti & Kesihatan, Sukan, dan Seni & Budaya. Dipimpin oleh Majlis Tadbir Bebas, yayasan ini diuruskan oleh pasukan berdedikasi yang bekerja rapat dengan ketigatiga syarikat penderma YSD dalam bidang kepentingan bersama. Sejak penubuhannya, yayasan ini telah mengembangkan sayapnya daripada menawarkan biasiswa kepada individu yang cemerlang dan layak, kepada membiayai program pemuliharaan, khidmat masyarakat, dan pembangunan yang berkesan. Untuk maklumat lanjut, layari www.yayasansimedarby.com

Untuk sebarang pertanyaan media, sila hubungi: 
Lea Ellisyhia, lea.ellisyhia@sime.com, +60173440202